Mengapa @Kini

14 tahun lalu, Malaysiakini ditubuhkan untuk mentakrifkan semula peranan media di Malaysia. Matlamat kami adalah untuk menjadi sumber nombor satu dalam liputan berita politik, laman rujukan rakyat Malaysia untuk mendapatkan berita bebas mengenai hal ehwal politik semasa. Kami percaya bahawa inilah yang diinginkan rakyat Malaysia, dan jika ada sumber berita sedemikian, ia akan mengubah negara ini. Pada masa itu kami percaya ia adalah keputusan yang tepat.

Hari ini, kami sedar sudah tiba masanya untuk Malaysiakini melangkaui matlamat asalnya. Kami memerlukan lebih daripada berita politik yang bebas untuk membina Malaysia yang lebih baik.

Untuk itu, kami mengorak langkah dengan pelancaran KiniBiz dan pelancaran semula sayap video kami sebagai KiniTV pada awal tahun ini. KiniBiz memaparkan berita perniagaan tanpa kompromi terhadap sensitiviti politik, atau memenuhi kehendak pengiklan semata-mata. KiniTV pula menyelami politik dengan menyiarkan peristiwa, karakter dan perdebatan yang mencorakkan negara ini.

Namun demikian, perancangan kami tidak terhenti setakat itu sahaja. Kami sedar masih banyak perlu dilakukan untuk mewujudkan sebuah negara dan dunia yang berasaskan keadilan dan prinsip-prinsip demokrasi. Antara usaha utama pada masa hadapan adalah melatih dan wartawan dan editor yang lebih baik. Pada masa sama, peluang yang ada pada era digital ini tidak akan direalisasikan begitu sahaja. Ia perlu diisi oleh satu generasi wartawan dan editor yang berfikiran bebas untuk mengubah industri ini.

Gelombang teknologi membawa peluang untuk meneroka bidang baru serta menyeberangi jurang digital bagi mereka yang masih belum mempunyai akses Internet. Untuk ini, Malaysiakini akan menjadi pusat bagi merintis pendekatan kewartawanan yang baru, serta kaedah-kaedah terkini untuk menjangkau audiens yang baru.

Untuk terus berkembang, Malaysiakini memerlukan asas yang lebih teguh.

Ibarat sepohon pokok, bangunan baru ini – yang akan dikenali sebagai @Kini – akan membantu Malaysiakini bertapak lebih dalam supaya ia lebih stabil dalam usaha untuk mempertingkatkan lagi sumbangannya.

@Kini akan menyediakan lebih banyak ruang untuk Malaysiakini berkembang – dengan ruang kerja, kawasan mesyuarat, bilik latihan dan studio video. Ia akan menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk pasukan Malaysiakini yang telah bekerja kuat selama ini, wira sebenar yang membantu menerbitkan berita-berita penting.

Dengan bangunan ini, Malaysiakini juga berharap dapat menarik penyertaan orang awam. Bangunan ini juga akan mempunyai pusat siaran web secara langsung yang pertama di negara ini, di mana forum awam dan perbincangan boleh diadakan dengan penyertaan penonton yang berinteraksi di tempat tersebut dan melalui Internet. Kemudahan latihan Malaysiakini akan dibuka kepada bengkel awam.

Kami menjangkakan ruang ini akan menjadi tempat mengadakan forum, dialog serta tayangan filem untuk menggalakkan penglibatan orang ramai dalam isu-isu semasa.

Dengan ini kami percaya kita semua akan dapat membina sesuatu yang hebat – bersama-sama.

Malaysiakini sentiasa bergantung kepada pelanggan, pembaca dan penyokongnya untuk berkembang. Bangunan ini adalah satu lagi langkah besar buat Malaysiakini. Kami berharap anda akan dapat melihat potensi ini dan membantu Malaysiakini melangkaui tugas-tugas pemberitaan dan menyumbang lebih banyak ke arah Malaysia yang lebih baik untuk semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *