Kewangan

Sejak penubuhannya, Malaysiakini berfungsi sebagai sebuah syarikat sosial yang menjadikan promosi media yang bebas sebagai matlamat perniagaannya yang utama. Ia benar-benar percaya bahawa survial media yang bebas perlulah disokong dengan pembiayaan yang bebas. Strategi kewangannya bertujuan untuk mendapatkan keuntungan bagi mengembangkan organisasi, bukan untuk mewujudkan pulangan pelaburan bagi pemegang-pemegang sahamnya.

Sepanjang tempoh lima tahun iaitu dari tahun 2008 hingga 2012, pendapatan keseluruhan Malaysiakini berjumlah RM20.7 juta. Ini terdiri daripada langganan (40.6%), pengiklanan (33.5%), geran projek (18%), perkhidmatan mudah alih (3.4%) dan pendapatan lain (4.5%).

Bagi tempoh yang sama, perbelanjaan berjumlah RM19.8 juta yang meliputi kos editorial (61.7%), kos pentadbiran (16.4%), kos teknologi (8.5%), pemasaran (6.9%) serta kos undang-undang dan lain-lain (6.5%).

Baki RM860,000 membentuk perolehan tertahan syarikat, dengan perolehan purata sebanyak RM172,000 setahun.

Langganan adalah penyumbang utama berbanding pengiklanan untuk setiap tahun sehingga tahun 2010. Bermula tahun 2011 , pendapatan pengiklanan telah mengatasi langganan dan dijangka menyumbang kira-kira 50 peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan dengan langganan menyumbang kira-kira 40 peratus daripada pendapatan.

Ada yang mencadangkan bahawa Malaysiakini tidak harus mengenakan bayaran langganan dan diterbitkan secara percuma. Bagaimanapun, hasil pengiklanan sahaja tidak cukup untuk menampung operasi Malaysiakini sepenuhnya. Tambahan pula, Malaysiakini akan menjadi lebih bergantung kepada pengiklan, dan akan berhadapan dengan kesukaran dalam melapor secara bebas, terutamanya dalam isu-isu yang boleh memberi kesan kepada pengiklan.

Pada masa lalu, geran projek menjadi penyumbang kepada projek-projek sampingan seperti latihan wartawan warga, forum Asian New Media Forum, portal komuniti seperti Komunitikini.com, Feedgeorge.com, maklumat pilihan raya seperti Undi.info dan produk-produk lain yang bersifat kewartawanan tetapi tidak mapan daripada segi kewangan.

Walaupun kerap kali dikecam kerana menerima dana dari pembiaya asing, Malaysiakini percaya bahawa projek-projek begini memberikan kebaikan besar kepada orang awam, dan dengan itu ia boleh dan harus dibiayai melalui geran dari yayasan yang komited kepada kebebasan bersuara dan media yang bebas.

Daripada segi perbelanjaan, sebahagian besarnya (62%) adalah untuk kos editorial. Pasukan editorial Malaysiakini sekarang adalah seramai 35 orang termasuk wartawan dan editor pelbagai bahasa. Malaysiakini percaya bahawa pasukan editorial yang kuat adalah kunci utama kewartawanan yang baik dan akan terus komited untuk melabur sebahagian besar daripada perbelanjaannya ke dalam tenaga kerja editorial.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *